12/03/13

http://cuepacs.blogspot.com/2013/03/majlis-perdana-perkhidmatan-awam-ketiga.html

CUEPACS
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam

SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

Datuk Seri Najib Tun Razak


11 Mac 2013


Utusan Malaysia
Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan NAZMIL NASIRUDDIN

11/3/2013

PUTRAJAYA 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).

Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri ialah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.

"Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.

MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.

"Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.

"Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.

Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara langsung.

"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.

"Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.

Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik. - UTUSAN1


SINAR HARIAN

Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2013
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan berkuatkuasa 1 Jan 2013, kerajaan bersetuju pangkat-pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.
  
Beliau berkata ia mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.
  
"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang dulu dalam kelompok gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29 Perkhidmatan Awam Am," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di sini.
  
Sementara itu, bagi jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan 44.
  
Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52.
  
"Sesungguhnya kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Najib berkata perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara telah membawa Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti yang dinikmati ketika ini.
  
“Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara,” katanya.
  
Merujuk kepada lapan wira negara yang telah gugur di Lahad Datu dan Semporna di Sabah, Najib berkata ia adalah sebuah manifestasi terbaik iltizam para penjawat awam terhadap negara dan amanah yang dipikul.
  
“Mereka meneruskan tradisi mulia generasi demi generasi yang telah menyarung uniform perkhidmatan PDRM dan ATM.
  
“Iltizam mereka itulah yang telah membolehkan kita warga Malaysia menjalankan kegiatan seharian tanpa rasa bimbang dan takut, membolehkan anak-anak kita selamat ke sekolah, membolehkan kita mencari rezeki dan pada akhir setiap hari pulang ke rumah kepada keluarga tercinta.  
  
“Hakikatnya mereka telah membolehkan kita terus maju dan makmur,” katanya.
  
Najib turut mengucapkan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat.
  
“Pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kesetaraan pangkat perkhidmatan ATM dan PDRM dengan gred perkhidmatan awam ini melibatkan 123,939 anggota ATM dan 109,209 anggota dan pegawai polis.
  
Dengan penyelarasan dalam PDRM, beliau berkata Konstabel, Lans Koperal, Koperal disetarakan kepada Gred 17, 20 dan 22 manakala Sarjan pula menjadi Gred 29.
  
Selain itu, beliau berkata Inspektor, Asisten Superintendan Polis (ASP), Superintenden Polis (Supt) disetarakan kepada Gred 41, 44 dan 46A dalam perkhidmatan awam.
  
"Bagi Asisten Komisioner Polis (ACP) berada pada Gred 52," katanya.
  
Dalam ATM, Ali berkata Prebet, Lans Koperal, Koperal kini disetarakan kepada Gred 17,  20, 22 manakala Sarjan pada Gred 29, Staf Sarjan Gred 32, Pegawai Waren II Gred 36 dan Pegawai Waren I Gred 38.
  
Di bawah kesetaraan pangkat, beliau berkata Leftenan Muda akan berada pada Gred 41 manakala Leftenan Gred 41,  Kapten Gred 44, Leftenan Kolonel Gred 48 dan Kolonel Gred 52. – Bernama



sINAR HARIAN

NIZAM ZAIN
11 Mac 2013

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 'berita baik' sembilan perkara yang dinantikan oleh 1.4 juta kakitangan awam termasuk kenaikan gaji tahunan yang diawalkan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Najib berkata, kesemua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST) - yang menggantikan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan tahun lalu.

Antaranya:

- Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM dan PDRM dari Gred 27 kepada Gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari Gred 48 kepada 52;
- 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian;
- Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini;
- Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak;
- Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi;

-  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Januari 2013;

- Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum;

- Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta "pay for performanca";

- Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion;

Posted by CUEPACS

DIKELUARKAN OLEH :

R & D ( PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN ) PASUKAN PANCARAGAM  13/03/2013